Monday, February 2, 2009

Perayaan 'Jis Pai" Orang Asli 2009

"Jis Pai" merupakan Tahun Baru Orang Asli walaupun terdapat berbilang suku kaum Orang asli yang berlainan.
Orang Asli merayakan Tahun Baru selepas memugut hasil-hasil dari kebun atau dusun mereka.
YB En Thomas Su mewakili Dato' Ngeh Koo Ham untuk pembukaan rasmi perayaan "Jis Pai" ini pada 31 Jan 2009 di Kuala Woh, Tapah.
Perayaan ini telah dianjurkan oleh Yayasan Orang Asli Perak.
Ketibaan YB Thomas Su di sambut oleh En Suki Mee, Pengerusi YOAP dan Dr Julie Edo, pensyarah UKM

Pegawai-pegawai kerajaan yang dijemput
Persembahan tarian 'sewang'.
Tarian ini kononnya untuk perayaan
dan upacara mengubati pesakit-pesakit.

Sebahagian daripada hadirin

YB mencuba 'blow pipe' yang digunakan oleh Orang Asli untuk memburu
YB Thomas Su melawat stor kraft tangan Orang Asli
Dapur tradisi Orang Asli
Draf Teks Ucapan
Yang Berhormat Dato’Ngeh Khoo Ham
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak


Fiesta Jis Pai Peringkat Negeri Perak.
Padang TNB Kuala Woh Tapah.
31hb Januari 2009 (Sabtu)
Jam : 11.00 pagi

Terlebih dahulu sukacita saya ingin memanjat rasa kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama berkumpul di padang TNB Kuala Woh Tapah pada pagi ini.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak YOAP sebagai Penganjur kerana sudi menjemput saya untuk hadir dan seterusnya merasmikan sambutan Fiesta “Jis Pai” pada pagi ini. Saya dengan sukacitanya ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur kerana berjaya menjayakan Fiesta “Jis Pai” iaitu satu-satunya perayaan utama masyarakat Orang Asli setiap tahun. Perayaan ini diharap dapat mengeratkan silatulrahim di antara sesama masyarakat Orang Asli dan masyarakat umum. Kejayaan dalam menganjurkan sambutan Fiesta “Jis Pai” pada pagi ini jelas menunjukkan bahawa pihak YOAP dan lain-lain. Pertubuhan Orang Asli giat berusaha mengekalkan dan memelihara warisan adat budaya dan kesenian Orang Asli agar tidak ditelan oleh arus kemodenan. Sepanjang pengetahuan saya, masyarakat Orang Asli adalah kelompok masyarakat yang unik kerana mempunyai berbilang suku kaum dan adat resam. Namun saya kagum kerana Orang Asli boleh bersatu hati bersama-sama merayakan satu perayaan pada tarikh yang sama, iaitu JIS PAI . Ini jelas menunjukkan bahawa wujudnya perpaduan yang erat di kalangan masyarakat Orang Asli .

Selaras dengan itu, saya amat berharap sambutan Fiesta “Jis Pai” ini mendapatkan pengiktirafan daripada masyarakat umum bagi memartabatkan “Jis Pai” sebagai suatu perayaan adat budaya Orang Asli. Melalui hari perayaan ini , masyarakat umum dapat mengenali dan memahami perayaan utama bagi masyarakat Orang Asli khususnya di negeri Perak. Sesungguhnya kita sangat bertuah kerana di Malaysia terdapat berbilang kaum dan budaya. Negara kita terkenal dan kaya dengan budaya dan adat resam yang berbeza di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Seperti masyarakat lain, Orang Asli juga mempunyai budaya, adat resam, bahasa dan perayaan tersendiri. Tarian Sewang yang merupakan satu tarian kebudayaan Orang Asli , boleh dijadikan lambang budaya Orang Asli dan dipersembahkan di setiap sambutan perayaan seperti tarian naga oleh masyarakat Cina.

Tok-Tok Batin, tuan-tuan dan puan puan,

Saya sebagai wakil kepada kerajaan Negeri Perak sememangnya mengalu-alukan sambutan Fiesta “Jis Pai" ini. Ini adalah kerana kerajaan negeri juga tidak mahu melihat masyarakat Orang Asli ketinggalan dalam menyambut perayaan mereka seperti masyarakat lain di negara ini. Kerajaan amat prihatin terhadap kepentingan masyarakat Orang Asli Negeri Perak samada dari aspek pembangunan , tanah, sosio-ekonomi, pendidikan dan juga sosio-budaya. Ini adalah bagi memastikan masyarakat Orang Asli bersama-sama menikmati kemajuan dan kestabilan negara di samping dapat menyumbangkan ke arah pencapaian matlamat Wawasan 2020.

Dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan tugas mengekang budaya barat yang sama sekali bertentangan dengan tatasusila budaya ketimuran di kalangan remaja di negara ini menjadi tugas yang begitu berat dan sukar, hanya dengan memiliki kekentalan jati diri, bersemangat waja dan cinta kepada bangsa perlu disemai dan diabadikan dalam diri remaja kita bagi mengekalkan adat ketimuran. Saya merasakan bahawa program pertandingan bolasepak, bola jaring, pertunjukkan tarian sewang, menyumpit dan masakan tradisional serta gerai pameran kraf tangan Orang Asli sempena fiesta Jis Pai ini adalah satu langkah yang bijak daripada YOAP dalam usaha melahirkan modal insan di kalangan belia-beliawanis kaum Asli.

Tok-Tok Batin, tuan-tuan dan puan-puan,

Kepimpinan adalah merupakan satu lagi faktor utama yang boleh mempercepatkan pembangunan masyarakat pribumi pada masa hadapan. Kerajaan Negeri Perak merasa bangga kerana di negeri Perak, kita mempunyai pemimpin- pemimpin NGO di kalangan masyarakat pribumi Orang Asli yang begitu gigih memperjuangkan hak masyarakat Orang Asli. Corak dan gaya kepimpinan pengerusi dan ahli lembaga Yayasan Orang Asli Perak yang berwawasan dan bermatlamatkan membantu memajukan dan memperkasakan taraf hidup masyarakat Orang Asli di Perak dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan sosio budaya amatlah dialu-alukan. Saya bagi pihak kerajaan Negeri Perak sangat-sangat berterima kasih atas daya inisiatif dan kegigihan YOAP yang selama ini bersusah payah mewujudkan yayasan ini. Saya difahamkan juga bahawa YOAP kini memiliki sebuah bangunan 3 tingkat di Bandar Ipoh Raya. Tahniah saya ucapkan, kepada pengerusi dan ahli lembaga YOAP.Teruskan perjuangan anda kerana perjalanan untuk memajukan masyarakat Orang Asli masih jauh, masih banyak lagi cabaran yang harus anda ditempuhi, semoga segala usaha tersebut diberkati Tuhan yang Esa.

Tok-Tok Batin, tuan-tuan dan puan-puan,

Kerajaan Negeri Perak pada masa kini amat mengambil berat mengenai hal ehwal Orang Asli di mana, Kerajaan Negeri Perak kini sedang berkerja keras dalam melaksanakan pelbagai projek terutamanya dari aspek pemberian pengiktirafan ke atas tanah adat atau tanah saka Orang Asli. Malahan baru-baru ini, kerajaan Negeri Perak telah meluluskan dasar pemberian hakmilik geran tanah kekal kepada seluruh masyarakat Orang Asli Negeri Perak dengan pecahan 6 ekar untuk pertanian, 2 ekar untuk dusun dan ¼ ekar untuk mendirikan rumah. Perlaksanaan dasar tersebut merupakan antara langkah-langkah pihak Kerajaan Negeri Perak kini dalam menunaikan janji manefesto Kerajaan Pakatan Rakyat yang mesra rakyat. Melalui dasar pengiktirafan tanah ini diharap taraf ekonomi masyarakat pribumi Orang Asli dapat ditingkatkan. Bagi tujuan mempercepatkan proses pengiktirafan tanah ini, dua jawatankuasa telah dibentuk dan dipengerusikan oleh saya sendiri dan dianggotai oleh pemimipin-pemimpin Orang Asli termasuk daripada YOAP. Kerajaan negeri berharap menjelang hujung tahun 2009, seberapa banyak hak milik tanahakan dikeluarkan kepada Orang Asli. Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh masyarakat Orang Asli agar mengambil peluang yang ada bagi membuat permohonan ke atas tanah-tanah saka dan tanah untuk tujuan pertanian yang sedang dan akan diusahakan.
Ini adalah kerana pihak Kerajaan Negeri memerlukan kerjasama dan sokongan dari pihak Tok-Tok Batin, tuan-tuan dalam mengenalpasti tanah saka yang diusahakan dan dikemukakan segera kepada kerajaan Negeri untuk kelulusan.
Sebelum saya merasmikan perayaan ini, saya ingin menggumumkan bahawa
Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah memperuntukan RM30,000 untuk perbelanjaan Kongres Orang Asli yang akan diadakan pada1 hb Mac 2009.

Akhir kata dari saya, semoga sambutan Fiesta “Jis Pai" Orang Asli Negeri Perak pada pagi ini dapat dirayakan dengan suasana meriah dan aman serta berjalan dengan lancar dan dapat mencapai matlamatnya.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya dengan sukacitanya merasmikan sambutan Fiesta “Jis Pai" Orang Asli Negeri Perak pada tahun 2009 ini.

Selamat Menyambut Fiesta "Jis Pai "

Sekian Terima Kasih .



posted by Jason Ling
for Dato' Ngeh






















No comments: