Friday, April 24, 2015

Kenyataan media oleh YB Dato' Ngeh Koo Ham bertarikh 24/04/2015


Kenyataan Media

1. Majlis Perbandaran Manjung mesti menguruskan kewangan dan hartanya dengan baik dan bukan sewenang-wenangnya menaikkan cukai ke atas rakyat.

2. Mohon Ahli-Ahli MPM melihat semula Perjanjian Kerjasama dengan Benua Kukuh Sdn Bhd berkenaan dengan 100 ekar tanah yang hendak dimajukan supaya MPM boleh mendapat pulangan yang lebih baik.

3. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dimohon menyiasat samada terdapat unsur-unsur rasuh atau salahgunakan kuasa oleh MPM dalam penyelesaian dengan Pemaju yang gagal membina Pasar Borong dan Jeti Nelayan dalam projek di atas.

4. Mohon pihak MPM membatalkan kenaikan bayaran tahunan untuk iklan di Daerah Manjung. ______________________________________________________

Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) berakhir 31/12/2013 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini menunjukkan pendapatan MPM adalah berjumlah RM39,622,929.00 bagi tahun 2013 dan masih mempunyai Kumpulan Wang Terkumpul (Baki) sebanyak RM34,271,455.00 pada 31/2/2013.

Bermula pada 1/1/2014, MPM mengenakan Caj Pembangunan untuk tanah yang dimajukan sebanyak 25% daripada nilai tambahan sesuatu hartanah yang hendak dimajukan. Selepas bantahan daripada saya dan rakyat jelata, difahamkan peratusan ini telah dikurangkan kepada 10% bermula tahun 2015.

Bermula 1/8/2014 MPM telah menaikkan bayaran tahunan iklan sampai 6,600% atau 66 kali. Kenaikan ini adalah tidak munasabah hinggakan hampir semua iklan bill board (yang dinaikkan bayaran tertinggi sampai 6,600%) telah diturunkan oleh peniaga-peniaga.

Jika MPM mentadbir kewangan dan hartanah-hartanahnya dengan baik, MPM tidak perlu menaikkan cukai ke atas rakyat.

Menurut lapuran kewangan MPM berakhir 31 Disember 2015, MPM telah menandatangani satu perjanjian bertarikh 4/5/2006 dengan pemaju Benua Kukuh Sdn Bhd untuk memajukan tanah 100 ekar atas PT 12062-12074, HSD 26991-27003, Mukim Lumut di Jalan Seri Manjung-Segari untuk membina Pasar Borong dan Jeti Nelayan. Pemaju tidak membina Pasar Borong dan Jeti Nelayan tetapi MPM sudi menerima 23 ekar daripada 100 ekar tanah tersebut yang telah ditambak (tanpa bangunan iaitu tanah kosong) sebagai bersamaan dengan nilaian balasan dalam Perjanjian Usaha sama! Saya memohon ahli-ahli MPM melihat semula Perjanjian Usaha Sama ini untuk mendapat pulangan yang terbaik bagi MPM.

Ini menunjukkan MPM tidak mentadbir hartanahnya dengan baik dan mendapat pulangan yang merugikan. Ini jauh berbeza dengan kerajaan PR Pulau Pinang yang mendapat pulangan yang amat baik untuk tanah-tanah kerajaan yang hendak dimajukan.

Saya juga memohon supaya SPRM menyiasat kes ini untuk menentukan samada terdapat unsur-unsur rasuah atau salahguna kuasa oleh MPM dalam penyelesaian Perjanjian Kerjasama ini.

Saya menyeru MPM membatalkan kenaikan bayaran tahun iklan perniagaan di Manjung dan berusaha menaikkan pendapatannya dengan mentadbir kewangan dan hartanah-hartanahnya dengan lebih baik.



Bertarikh 24hb April 2015.

YB Dato’ Ngeh Koo Ham
MP for Beruas
ADUN kawasan Sitiawan
Timbalam Setiausaha Agung DAP

No comments: