Sidang Media Oleh
Ngeh Koo Ham, ADUN Sitiawan merangkap Ketua Whip Pembangkang DUN Perak
Siapa yang
berboho
ng? YAB Menteri Besar atau Ketua Eksekutif Perbadanan Menteri Besar
(PMB)?
Pada 14/11/2015
(Sabtu), saya telah menyatakan bahawa sejak PMB diaktifkan semula pada
tahun 2012, lebih 10,000 ekar tanah
bernilai berbillion-bilion ringgit telah diluluskan kepada PMB.
Semalam
(16/11/2015), Ketua Eksekutif PMB, Datuk Aminudin Hashim menafikan kenyataan
saya dengan menyatakan PMB hanya mempunyai tanah sebanyak 890 hektar (2,200
ekar) tanah. Beliau mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap
saya setelah mendapat nasihat peguam.
Beliau juga berkata
PMB tidak perlu mendedahkan akaun kewangannya kepada orang ramai apabila saya
menyatakan bahawa akaun PMB tidak dibentangkan di Dewan Undangan Negeri seperti
agensi-agensi kerajaan yang lain.
Pada sidang Dewan
Undangan Negeri yang lepas, YAB Menteri Besar telah dalam jawapannya kepada
saya menyatakan bahawa PMB melalui permohonan tanahnya kepada Pejabat Tanah dan
Galian Negeri Perak telah diberi kelulusan mencari gali berkaitan perlombongan
sebanyak 10,500 ekar tanah sehingga tahun 2014. Ini bermakna sekurang-kurangnya
10,500 ekar tanah telah diluluskan kepada PMB.
YAB Menteri Besar
juga menyatakan bahawa PMB telah membangunkan pelan induk perlombongan atau
Mining Blue Print yang memperkenalkan konsep pembangunan Lembah Bijih Timah
atau Tin Valley secara berfasa bermula di Koridor Galian Gerik, Temenggor dan
Pengkalan Hulu.
Siapa yang
berbohong? YAB Menteri Besar atau Ketua Eksekutif PMB?
Saya hendak
mengingatkan Datuk Aminudin Hashim bahawa wang PMB bukan wang persendiriannya.
Jangan menggunakan wang awam sesuka
hati. Saya menunggu tindakan undang-undang daripada Datuk Aminudin Hashim
tetapi sila gunakan wang sendiri untuk perbelanjaan guaman kerana tindakan
undang-undang ini langsung tidak berasas.
Sidang media saya
pada 14/11/2015 ditujukan kepada YAB Menteri Besar dan saya memerlukan jawapan
daripada YAB Menteri Besar yang bertanggungjawab menjawab semua isu-isu yang
dibangkitkan oleh wakil rakyat Negeri Perak. Datuk Aminudin Hashim tidak harus
merasa bahawa beliau layak mengambil alih kedudukan seorang Menteri Besar.
Dengan adanya Ketua
Eksekutif seperti Datuk Aminudin Hashim dan apa yang sedang berlaku dalam PMB,
saya telah pada 14/11/2015 menyatakan bahawa PMB Perak boleh menjadi skandal
terbesar dalam sejarah Negeri Perak jika tidak dibendung dengan segera.
Saya sekali lagi
menuntut bagi rakyat Negeri Perak agar YAB Menteri Besar Perak membekalkan satu
salinan senarai tanah-tanah yang telah diluluskan kepada PMB dan semua
perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani oleh PMB kepada semua Ahli-Ahli
Dewan Undangan Negeri yang akan mula bersidang hari ini.
Bertarikh 17hb
November, 2015
Dato' Ngeh Koo Ham
Ahli Dewan Undangan
Negeri Perak
Kawasan Sitiawan
Ketua Whip Barisan
Pembangkang