Kenyataan Media oleh Ngeh Koo Ham di Pantai Remis bertarikh 27 Februari 2017 (Isnin).
1. Kerajaan digesa mengumumkan akan terus membantu industri perikanan dan tidak akan mula mengenakan cukai ke atas industri perikanan
2. Kerajaan hendaklah berbincang dengan mereka dalam industri perikanan terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan supaya keputusan yang berbolak- balik tidak berulang lagi.
Pengumuman oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam mengenai penangguhan terhadap pembayaran levi bagi pekerja asing di dalam sektor industri perikanan menunjukkan sekali lagi Kerajaan Barisan Nasional senantiasa membuat keputusan terhadap industri perikanan tanpa soal selidik yang mendalam dan tidak mendapat pandangan mereka dalam industri perikanan terlebih. Kita telah melihat banyak kali bagaimana kerajaan sentiasa membuat yang keputusan berbolak-balik terhadap industri perikanan hinggakan mereka yang terlibat dalam industri perikanan sentiasa hidup dalam kekhuatiran. Samada keputusan hendak menghapus penggunaan pukat tunda, saiz lubang pada pukat yang dibenarkan, jenis peti untuk simpanan ikan, mewajibkan pemasangan kotak hitam pada bot nelayan dan jarak yang dibenarkan untuk menangkap dari pantai menunjukkan kerajaan membuat keputusan tanpa mempertimbangkan isu-isu ini dengan teliti dan tidak mendapat pandangan daripada mereka yang terlibat dalam industri perikanan. Kerajaan BN tidak menghormati mereka yang terlibat dalam industri perikanan dan kenyataan bahawa kerajaan menghargai warga dalam industri perikanan adalah sekadar di bibir mulut sahaja. Kerajaan BN sebelum ini telah membuat keputusan bermula 1 Mac 2017 untuk menarik balik pengecualian daripada membayar levi pekerja-pekerja asing yang bekerja dalam industri perikanan. Penarikan pengecualian ini merupakan satu cukai tambahan kepada industri perikanan.
Pemilik-pemilik bot nelayan dan mereka yang terlibat dalam industri perikanan yang menggaji pekerja-pekerja asing terpaksa menanggung kos tambahan yang tinggi akibat keputusan kerajaan mengenakan levi ke atas pekerja asing yang bekerja untuk mereka.
Pada masa yang lampau, kerajaan sentiasa memperakui kesusahan yang dihadapi oleh industri perikanan dan sentiasa cuba membantu mereka termasuk menyediakan diesel yang bersubsidi tinggi kepada industri perikanan. Namun keputusan untuk mengenakan levi terhadap pekerja-pekerja asing di dalam industri perikanan merupakan satu perubahan polisi mengenakan cukai ke atas industri perikanan.
Kerajaan hendaklah menggunakan cukai yang kutip digunakan dengan baik nya memastikan ia tidak hilang akibat salah tadbir urus, ketirisan dan rasuah. Kerajaan tidak harus membebankan rakyat dengan mengenakan cukai baru ke atas rakyat. Ketua Audit Negara yang baru bersara baru-baru ini, Tan Seri Ambrin Buang telah menyatakan bagaimana kerajaan kehilangan antara 10% hingga 30% wang yang digunakan untuk projek-projek pembinaan kerajaan kerana salah tadbir urus, dan 20% hingga 30% daripada nilai- nilai projek-projek kerajaan hilang disebabkan oleh rasuah. Jadi kerugian yang dialami boleh menjangkaui diantara 30% hingga 60% bagi projek yang dijalankan oleh kerajaan.
Ikan telah lama menjadi sumber protein yang mampu dibeli oleh rakyat Malaysia. Hari ini, harga ikan meningkat dengan mendadak, malah terdapat beberapa jenis ikan yang meningkat sekali ganda daripada harga asal baru-baru ini menjadikan ikan tidak mampu dibeli oleh ramai rakyat. Sekiranya levi ini dikenakan terhadap pekerja asing industri perikanan, kos tambahan ini akan ditampung oleh para pembeli makanan laut kerana harga makanan laut akan naik lagi. Kerajaan Barisan Nasional sepatutnya lebih peka dengan beban sedia ada yang ditanggung oleh rakyat akibat GST, kenaikan harga minyak dan caj elektrik.
Mengimport ikan murah dari negara luar bukanlah penyelesaian yang baik kerana ia akan membinasakan industri perikanan negara kita. Selain daripada itu, penggantungan kepada hasil makanan laut yang diimport akan menyebabkan pengeluaran matawang ke negara luar, selain menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan. Penyelesaian yang terbaik adalah untuk memastikan industri perikanan kekal mempunyai daya saing yang baik.
Saya dengan ini menyeru kerajaan mengumumkan bahawa pengecualian levi bagi pekerja asing di dalam industri perikanan merupakan satu polisi kerajaan. Pengumuman penangguhan pembayaran levi ini akan terus menyebabkan mereka dalam industri perikanan akan terus bimbang tentang masa dapan mereka.
Dato Ngeh Koo Ham
Ahli Parlimen Beruas
Ahli Dewan Undangan Negeri Sitiawan
Timbalan Setiausaha Agung DAP.
No comments:
Post a Comment