Tuesday, November 17, 2015


Sidang Media Oleh Ngeh Koo Ham, ADUN Sitiawan merangkap Ketua Whip Pembangkang DUN Perak







Siapa yang berboho
ng? YAB Menteri Besar atau Ketua Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (PMB)?

 

Pada 14/11/2015 (Sabtu), saya telah menyatakan bahawa sejak PMB diaktifkan semula pada tahun  2012, lebih 10,000 ekar tanah bernilai berbillion-bilion ringgit telah diluluskan kepada PMB.

Semalam (16/11/2015), Ketua Eksekutif PMB, Datuk Aminudin Hashim menafikan kenyataan saya dengan menyatakan PMB hanya mempunyai tanah sebanyak 890 hektar (2,200 ekar) tanah. Beliau mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap saya setelah mendapat nasihat peguam.

Beliau juga berkata PMB tidak perlu mendedahkan akaun kewangannya kepada orang ramai apabila saya menyatakan bahawa akaun PMB tidak dibentangkan di Dewan Undangan Negeri seperti agensi-agensi kerajaan yang lain.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas, YAB Menteri Besar telah dalam jawapannya kepada saya menyatakan bahawa PMB melalui permohonan tanahnya kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak telah diberi kelulusan mencari gali berkaitan perlombongan sebanyak 10,500 ekar tanah sehingga tahun 2014. Ini bermakna sekurang-kurangnya 10,500 ekar tanah telah diluluskan kepada PMB.

YAB Menteri Besar juga menyatakan bahawa PMB telah membangunkan pelan induk perlombongan atau Mining Blue Print yang memperkenalkan konsep pembangunan Lembah Bijih Timah atau Tin Valley secara berfasa bermula di Koridor Galian Gerik, Temenggor dan Pengkalan Hulu.

Siapa yang berbohong? YAB Menteri Besar atau Ketua Eksekutif PMB?

Saya hendak mengingatkan Datuk Aminudin Hashim bahawa wang PMB bukan wang persendiriannya. Jangan menggunakan  wang awam sesuka hati. Saya menunggu tindakan undang-undang daripada Datuk Aminudin Hashim tetapi sila gunakan wang sendiri untuk perbelanjaan guaman kerana tindakan undang-undang ini langsung tidak berasas.

Sidang media saya pada 14/11/2015 ditujukan kepada YAB Menteri Besar dan saya memerlukan jawapan daripada YAB Menteri Besar yang bertanggungjawab menjawab semua isu-isu yang dibangkitkan oleh wakil rakyat Negeri Perak. Datuk Aminudin Hashim tidak harus merasa bahawa beliau layak mengambil alih kedudukan seorang Menteri Besar.



Dengan adanya Ketua Eksekutif seperti Datuk Aminudin Hashim dan apa yang sedang berlaku dalam PMB, saya telah pada 14/11/2015 menyatakan bahawa PMB Perak boleh menjadi skandal terbesar dalam sejarah Negeri Perak jika tidak dibendung dengan segera.

Saya sekali lagi menuntut bagi rakyat Negeri Perak agar YAB Menteri Besar Perak membekalkan satu salinan senarai tanah-tanah yang telah diluluskan kepada PMB dan semua perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani oleh PMB kepada semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang akan mula bersidang hari ini. 

Bertarikh 17hb November, 2015

Dato' Ngeh Koo Ham
Ahli Dewan Undangan Negeri Perak
Kawasan Sitiawan

Ketua Whip Barisan Pembangkang

No comments: