Wednesday, November 11, 2015

Kenyataan Media Hari Deepavali oleh YB Dato’ Ngeh Koo Ham (MP Bruas)

Sitiawan, Rabu 11 November 2015 – Ahli Parlimen Beruas, YB Dato’ Ngeh Koo Ham telah menghulurkan derma berjumlah RM 10,000.00 sempena perayaan Deepavali yang disambut semalam (Selasa) untuk penduduk di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri beliau. Mereka telah menerima bantuan berupa keperluan Deepavali termasuk makanan dan duit raya. Beliau  berkata derma ini tidak seberapa dan tidak dapat meringankan beban mereka tetapi sekadar menolong mengembirakan keadaan sempena menyambut Deepavali. Bagi beliau, cara meringankan beban rakyat ialah melalui polisi kerajaan yang betul.

Menurut beliau, sejak GST dikuatkuasakan oleh kerajaan, harga barangan telah meningkat secara mendadak hingga ada yang naik sampai 300%. Ini disebabkan antara lain nilai wang ringgit yang sudah jatuh sebanyak 40.8% sejak 1.1.2013.

Ketika pembukaan sidang parlimen baru-baru ini, YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah menyatakan bahawa GST telah memberikan pendapatan kepada kerajaan sebanyak RM 39 billion, berbanding SST sebelum ini yang hanya memberi hasil cukai sebanyak RM 18 billion kepada kerajaan. YB Dato’ Ngeh Koo Ham mengatakan bahawa tambahan cukai sebanyak RM 21 billion ini sebenarnya ditanggung oleh rakyat. Secara purata, seorang rakyat Malaysia kini menanggung cukai tambahan sebanyak RM 700 seorang setahun. Seisi keluarga 5 orang akan membayar cukai tambahan GST secara purata sebanyak RM 3,500 berbanding Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang dibayar kepada rakyat hanya sebanyak RM1,000 untuk seisi keluarga. Ini menunjukkan GST sebenarnya sangat membebankan rakyat Malaysia. Keadaan kewangan rakyat tertekan hari ini juga adalah kerana kadar hutang isi rumah negara amat tinggi iaitu sudah melebihi RM 940 billion dengan  setiap rakyat kini secara purata menanggung beban hutang sebanyak RM31,000 seorang atau RM155,000 untuk seisi keluarga. Satu kajian mendapati secara purata rakyat Malaysia menggunakan 50% daripada pendapatan bulanan mereka untuk membayar hutang.

Keadaan kewangan rakyat meruncit kerana gaji atau pendapatan tidak naik tetapi harga barangan naik mendadak. Ada rakyat yang mengalami penurunan pendapatan mereka kerana harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit telah menurun. Ahli Parlimen Beruas berharap kerajaan dapat menurunkan kadar GST atau memperbanyakkan lagi barangan yang dikecualikan daripada GST. Beliau juga mengesyorkan agar kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menolong mereka yang termiskin menandingi keadaan terdesak ini.  





No comments: