Sunday, June 15, 2014

Kenyataan media dari YB Ngeh Koo Ham pada 14hb Jun 2014

Kenyataan Media

Sejak kemerdekaaan, keharmonian kaum dan agama yang dialami di Malaysia adalah kerana peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan telah dihormati dan dipertahankan. Baru-baru ini, telah berlakunya konflik dan ketegangan keagamaan kerana Jabatan Pendaftaran Negara enggan menghormati dan mempertahankan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan. Tema ucapan saya di Parlimen adalah berkenaan dengan perpaduan negara dan keperluan untuk menyelesaikan perbalahan keagamaan. Saya berharap dapat melihat keamanan dan keharmonian antara Muslim Sunni dan Muslim Syiah. Saya juga berharap dapat melihat keamanan dan keharmonian antara orang Islam dan orang bukan Islam.

Saya merujuk kepada respon yang diberikan oleh Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Razali Ibrahim berkenaan ucapan saya di Parlimen. Beliau telah menyatakan bahawa pandangan saya adalah tidak berpatutan dan akan mempengaruhi keharmonian kaum dan keagamaan di Negara ini. Saya telah menyatakan di Parlimen bahawa semua orang termasuk Muslim haruslah menghormati hak-hak seseorang untuk menganut dan mengamalkan agamanya seperti yang telah dijamin oleh Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan. Saya tidak bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri tersebut. Malah, sebaliknya adalah benar. Keharmonian keagamaan di Malaysia sejak Merdeka adalah kerana semua pihak telah menghormati peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Konflik dan ketegangan keagamaan yang berlaku baru-baru ini adalah disebabkan oleh sesetengah pihak tertentu terutamanya Jabatan Pendaftaran Negara enggan menghormati dan mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Selama ini, masalah-masalah yang timbul apabila orang yang bukan Islam masuk Islam dan keluar dari Islam dengan sendirinya terselesai apabila Jabatan Pendaftaran Negara menghormati dan mempertahankan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.

Lebih kurang 30 tahun yang lalu, Jabatan Pendaftaran Negara akan menerima permohonan untuk menukar nama, agama, atau lain-lain butir-butir seseorang apabila satu Deed Poll dilakukan (Deed Poll adalah akuan bersumpah yang dibuat oleh pemohon yang menyatakan niatnya untuk menukar nama, agama atau butir-butir lain dan ia akan disiarkan di dalam surat khabar). Kemudian, demi mengambil kira sensitiviti orang muslim, perkara sedemikian diminta tidak disiarkan di dalam surat khabar. Pada masa itu, telah dipersetujui bahawa Majlis Agama Islam atau Jabatan Agama Islam akan mengeluarkan surat-surat pengesahan seseorang itu telah meninggalkan Islam dan itu adalah mencukupi bagi Jabatan Pendaftaran Negara membuat pindaan yang perlu ke atas kad pengenalan pemohon tersebut.

Kini, Jabatan Pendaftaran Negara memerlukan seseorang pemohon mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah mengisytiharkan bahawa dia telah meninggalkan Islam. Keperluan ini adalah bercanggah dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan kerana kebebasan memilih agama yang dianuti seseorang itu kini berada di tangan pihak yang ketiga. Perkara 11(1) menjamin hak mutlak seseorang untuk memilih agama sendiri dan sebarang keputusan yang menghalangnya dari kebebasan ini adalah bercanggahan dengan Perlembagaan dan tidak boleh diterima.

Tema ucapan saya di Parlimen pada 11/6/2014 adalah berkenaan dengan perpaduan negara dan keperluan untuk mengurangkan atau mengelakkan berlakunya perbalahan keagamaan. Saya telah merujuk kepada tinjauan “Religious Freedom Project” yang telah dijalankan Berkley Center for Religion, Peace and World Affairs, Georgetown University dan artikel “Fostering National Unity” yang ditulis oleh Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS (Institute for Democracy & Economic Affairs) untuk menyokong pendapat bahawa perbalahan keagamaan akan berkurangan apabila peraturan atau undang-undang kawalan ke atas keagamaan berkurangan (bermaksud pertambahan kebebasan mengamalkan agama seseorang).

Saya telah menggunakan contoh permusuhan antara Muslim Syiah dan Muslim Sunni apabila mereka menggunakan sekatan undang-undang terhadap satu sama lain walaupun mereka mempunyai banyak persamaan. Saya telah menyatakan bahawa kita tidak nampak perbalahan sebegitu rupa antara penganut-penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Tao, dan agama-agama lain-lain walaupun agama-agama tersebut mempunyai perbezaan yang begitu bercanggah. Hal ini adalah kerana agama-agama ini telah diamalkan secara lebih bebas dengan sedikit sahaja peraturan undang-undang mengawali mereka. Saya ingin melihat keamanan dan perharmonian antara muslim Sunni dan muslim Syiah. Saya juga ingin lihat keamanan dan keharmonian antara muslim dan orang bukan muslim.

Saya juga menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan-peruntukan yang jelas yang dapat menyelesaikan isu-isu yang kini telah menyebabkan ketegangan keagamaan dan pertikaian di dalam negara kita.

Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan-peruntukan jelas tentang hubungan antara orang Islam dan orang bukan Islam dan sekiranya peruntukan-peruntukan tersebut dipatuhi oleh semua pihak, insiden-insiden konflik antara orang Islam dan orang bukan Islam yang tidak menyenangkan tidak akan berlaku di negara kita.

Tiga isu yang sering menyebabkan ketegangan dan konflik adalah seperti yang berikut:

i) Kebebasan individu untuk masuk agama Islam dan keluar dari agama Islam;

ii) Agama seorang individu bawah umur 18 tahun apabila salah seorang ibubapanya masuk agama Islam atau keluar dari agama Islam;

iii) Undang-undang diri/keluarga yang patut digunakan apabila salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan masuk agama Islam atau keluar dari agama Islam.

Punca kepada konflik yang sebegitu adalah kerana di Malaysia orang Islam mengikut satu set undang-undang diri/keluarga yang berlainan daripada mereka yang bukan Islam.

i) Kebebasan individu untuk masuk agama Islam dan keluar dari agama Islam

Perkara 11(1) memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Perkara 11(4) memperuntukkan bahawa undang-undang Negeri dan undang-undang Persekutuan bagi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain terhadap umat Islam.

Orang bukan Islam mesti menerima hakikat bahawa undang-undang boleh diluluskan untuk melarang mereka mengembangkan agama mereka kepada orang Islam.

Orang Islam perlu menerima hakikat bahawa seorang Islam yang mahu meninggalkan agama Islam atas kehendak sendiri haruslah dibenarkan berbuat demikian. Kebebasan beragama seharusnya dihormati kerana ia adalah kebebasan yang diberikan oleh Tuhan dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kita.

ii) Agama seorang individu bawah umur 18 tahun apabila salah seorang ibu bapanya masuk agama Islam atau keluar dari agama Islam

Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri.

Perkara 12(4) memperuntukkan bahawa bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

Oleh itu, sekiranya salah seorang ibu bapa masuk agama Islam dan berlaku pertikaian berkenaan agama kanak-kanak tersebut, ibu atau bapa yang diberikan hak penjagaan terhadap kanak-kanak tersebut hendaklah diberi hak menentukan ajaran-ajaran agama atau pengambilan bahagian dalam upacara atau sembahyang sesuatu agama kanak-kanak tersebut sehinggalah kanak-kanak tersebut mencapai umur 18 tahun. Selepas umur 18 tahun, anak tersebut mempunyai kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.

iii) Undang-undang diri/keluarga yang digunapakai apabila salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan masuk agama Islam atau keluar dari agama Islam.

Masalah ini dapat diselesaikan secara adil dengan menggunakan undang-undang di bawah mana perkahwinan pasangan tersebut diraikan. Sekiranya mereka berkahwin sebagai orang bukan Islam, maka Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976 akan digunakan. Sekiranya mereka berkahwin sebagai orang Islam, Undang-undang Islam akan digunakan. Perkahwinan adalah satu bentuk kontrak antara sepasang suami isteri. Maka, undang-undang yang digunakan seharusnya undang-undang di bawah mana sesuatu perkahwinan itu diraikan.

Apabila Jabatan Pendaftaran Negara enggan menukar butir-butir dalam kad pengenalan seseorang yang telah menukar agama, maka timbulnya masalah seperti yang diperlihatkan dalam kes Zarena Abdullah Majid, yang merupakan seorang beragama Hindu dengan nama Islam, di mana perkahwinannya dengan seorang lelaki beragama Hindu telah diganggu oleh JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor). Kes Zarena hanyalah salah satu contoh dan terdapat banyak lagi kes-kes yang dalam keadaan yang serupa. Ramai pasangan dalam keadaan sebegitu bersedudukan tanpa berkahwin bukan kerana mereka tidak mahu berkahwin, tetapi masyarakat kita tidak membenarkan mereka berbuat demikian.

Ramai anak-anak luar nikah telah dilahirkan kepada pasangan yang sedemikian. Kami mencemuh pasangan-pasangan tidak berkahwin dan anak-anak luar nikah yang dilahirkan tetapi masyarakat kita yang sepatutnya dicemuh dan dikutuk kerana menyebabkan kesengsaraan kepada pasangan-pasangan yang ingin berkahwin tetapi dihalang. Anak-anak luar nikah yang dilahirkan ini telah mengalami berbagai kesengsaraan. Kesengsaraan dan kesusahan yang sedemikian seharusnya ditamatkan sekiranya kita masih menganggap diri kita sebagai masyarakat bertamadun.

Sekali lagi, saya menyeru kepada Jabatan Pendaftaran Negara supaya menerima Akuan Bersumpah sebagai bukti yang mencukupi dalam pilihan agama atau kepercayaan yang dianuti oleh seseorang itu. Sekiranya status agama seseorang itu dapat diselesaikan melalui penukaran butir-butir di dalam kad pengenalannya, maka isu-isu dan konflik-konflik dalam begitu banyak kes yang kita lihat akan terselesai dengan sendirinya.


Bertarikh 14 June 2014.

Ngeh Koo Ham
Timbalan Setiausaha Agung
DAP Malaysia,
Ahli Parlimen Beruas.

No comments: